Tahun ni dah nak masuk tahun keempat saya berkhidmat di Amanah Raya Berhad. Akhir2 ini, kes yang saya handle agak mencabar. Bukan sahaja mencabar kesabaran, tetapi mencabar emosi saya. Kes yang agak touching bagi saya ialah kes yang baru 2 minggu menjadi "milik" saya. Harta pusaka seorang suami yang telahpun kematian isterinya 4 tahun yang lalu dan meninggalkan 5 zuriat yang masih kecil. (seorang lelaki & 4 perempuan). Tahun ini abang sulong baru sahaja mencecah 18 tahun dan anak bongsu pasangan ini kematian ibu tatkala berusia setahun dan tatkala usia baru menginjak 4 tahun, ayahnya pula kembali pulang ke rahmatullah..Dua bulan selepas kematian ayah, datuk mereka pula dijemput Allah kembali menemui Penciptanya. Itulah dugaan yang telahpun tersurat buat mereka..Al-fatihah, semoga Allah menempatkan roh arwah dikalangan insan2 yang beriman, insyaallah.
Tatkala pertama kali bertemu dengan semua anak-anak arwah simati di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam ketika menanti keputusan perbicaraan bagi mendapatkan sijil faraid minggu lepas, terasa ingin memeluk anak-anak yatim itu. Tapi, saya hanya mampu berdoa semoga mereka dipermudahkan segala urusan yang mendatang. Wajah mereka yang tenang, tersembunyi keperitan yang pastinya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Tangisan anak bongsu yang berusia 4 tahun di hujung perbicaraan itu membuatkan saya bertambah pilu. Allahuakbar... hati ini terdetik, fahamkah dia tentang kesedihan...??? Ya Allah... berikanlah mereka kekuatan...
Kes ini pastinya menjadi priority bagi saya bagi memastikan kebajikan anak-anak simati terpelihara dengan harta peninggalan daripada kedua-dua ibubapanya. Memandangkan arwah bapa kepada anak-anak ini mati dengan meninggalkan wasiat, saya diberi AMANAH utk bertindak sebagai Pentadbir/Executor bagi memastikan segala hutang dijelaskan dan harta pusaka simati ditadbir dengan sewajarnya. Saya berjanji pd diri sendiri, AMANAH ini akan dilaksanakan sebaik mungkin sama seperti kes-kes yang lain. Tetapi, kes ini amat bermakna buat diriku.. Akan kupastikan tiada ruang keculasan dalam pentadbiran harta pusaka ini, insyaallah..Semoga Allah beri kekuatan kepadaku, insyaallah.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. bantulah diri ini untuk menjalankan amanah ini dengan panduan ilham terbaik dariMU. Semoga anak-anak yatim ini kau pelihara daripada kesusahan dan berikanlah mereka ketabahan dalam mengharungi kehidupan tanpa insan tersayang dalam hidup mereka...Amin Ya Rabb..
No comments:
Post a Comment