Disediakan oleh :
Hairin Herlina Abdul Halim - B.Shariah Law (Hons) (UM)
Eksekutif Kanan/Peguam Syarie
Unit Pentadbiran Pusaka Berwasiat
Amanah Raya Berhad
Artikel ini telah dikeluarkan dalam Majalah Visi IKIM Mei 2006.
Dokumen wasiat semakin diterima oleh masyarakat Islam di negara kita sebagai salah satu alternatif perancangan harta yang mampu menzahirkan hasrat Pewasiat tentang agihan hartanya yang akan dilaksanakan selepas kematiannya. Dokumen wasiat merupakan dokumen penyelesai pusaka berbentuk pengamanahan kepada Wasi atau Pemegang Amanah untuk menyempurnakan segala hasrat Pewasiat termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan harta untuk tujuan kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan dan tidak bercanggah dengan hukum Islam.
Perkataan wasiat berasal daripada perkataan "wassa" yang bermaksud menjanjikan, memerintahkan atau memberi hak milik selepas kematian[1]. Dari segi istilah pula, fuqaha' telah mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain samada benda, hutang atau manfaat untuk dimiliki oleh penerima wasiat setelah kematian pewasiat[2].
Mengikut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 wasiat bermaksud : iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.
Saad bin Abi Waqqas telah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. :
“Diriwayatkan dari Saad bin Abi Waqqas bahawa dia pernah berkata dalam sakitnya, `Ya Rasulullah sesungguhnya hartaku banyak dan tidak ada yang diwarisi harta ini selain dari anakku yang perempuan, bolehkah aku wasiatkan hartaku itu semuanya? Rasulullah menjawab, `tidak’. Dia bertanya lagi, kalau 2/3 bagaimana? Baginda menjawab, `tidak’. Aku bertanya lagi, bagaimana kalau 1/2 ? Baginda menjawab `tidak’. Aku bertanya lagi, bagaimana kalau 1/3. Baginda menjawab, ` ya boleh, 1/3 itu pun banyak. Sesungguhnya meninggalkan waris dalam keadaan kaya lebih baik dari meninggalkannya dalam kemiskinan meminta-minta kepada manusia.”
Islam telah meletakkan had dalam proses penyediaan wasiat. Dalam konteks ini, hanya satu pertiga (1/3) daripada harta Pewasiat boleh diwasiatkan untuk tujuan kebajikan dan kepada ahli-ahli waris yang terhalang daripada mewarisi harta pusaka melalui faraid. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah s.w.t. telah memberikan setiap waris bahagian daripada harta pusaka maka tiada wasiat bagi mereka,”. Walaubagaimana pun, wasiat kepada ahli waris boleh dilaksanakan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang berhak selepas kematian pewasiat.
Merancang harta melalui penulisan wasiat dengan mewasiatkan sebahagian harta pusaka sangat digalakkan. Imam Ibnu Hazm berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab seseorang itu mewasiatkan sebahagian harta pusaka apabila warisnya tidak dapat mewarisi hartanya samada kerana perbezaan agama atau kerana terhalang oleh waris yang lebih dekat atau kerana mereka memang tidak berhak mewarisinya. Dokumen wasiat dilihat sebagai suatu ibadah dan juga tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan kerana ia secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan sosio ekonomi umat Islam iaitu sedekah jariah. Amalan ini merupakan amalan yang kekal ganjaran pahala sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. : “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara ; sedekah jariahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”.
Antara kepentingan melakukan perancangan harta melalui wasiat ialah :
- Perlantikan Wasi / Pentadbir bagi harta pusaka untuk menjalankan pentadbiran pusaka selepas kematian pewasiat.
- Memastikan liabiliti diri (hutang) diselesaikan dengan sewajarnya oleh Wasi/Pentadbir harta.
- Mengagihkan kekayaan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga tersayang (waris yang terhalang menerima faraid).
- Mempercepatkan proses agihan harta pusaka melalui perlantikan Wasi.
- Memastikan harta pusaka dapat diurus tadbir dengan efektif dan profesional.
- Perlantikan Penjaga bagi kanak-kanak di bawah umur bagi memastikan kebajikan mereka terbela walaupun setelah kematian Pewasiat.
- Pengisytiharan harta sepencarian dalam wasiat akan memudahkan tuntutan isteri sebelum pembahagian harta pusaka dibuat kepada waris-waris lain.
Penyediaan dokumen wasiat tidak akan lengkap tanpa perlantikan Wasi / Pentadbir Harta. Wasi / Pentadbir harta ialah pihak yang dinamakan di dalam dokumen wasiat yang dilantik untuk melaksanakan dan menyempurnakan wasiat selepas kematian pewasiat. Tugas Wasi adalah seperti berikut :
i. Menentukan dan memastikan semua aset dan liabiliti si mati.
ii. Mengenalpasti dan melunaskan semua hutang si mati.
iii. Memastikan segala cukai, zakat, badal haji dan lain-lain perkara yang dinyatakan dalam
v. Menjual saham-saham dan asset-aset simati yang lain( sekiranya perlu ).
vi. Membahagikan harta si mati kepada benefisiari mengikut arahan yang telah diberikan
Peranan dan tanggungjawab Wasi/Pentadbir harta pusaka bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi ia sebenarnya memerlukan seseorang yang berkredebiliti dan arif dalam hal ehwal undang-undang, ilmu Syariah dan mampu memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Proses pentadbiran harta pusaka juga merupakan suatu proses yang rumit dan memerlukan masa yang panjang. Kadang-kala Wasi/Pentadbir terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah ahli waris yang tidak memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pentadbiran harta dijalankan. Oleh sebab itu, perlantikan Wasi/Pentadbir harta pusaka perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan mampu dijalankan dengan baik.
Anjuran berwasiat oleh Rasulullah s.a.w. tidak seharusnya dipandang sepi oleh masyarakat Islam. Sikap suka meremehkan soal pengurusan dan perancangan harta pusaka perlu dihindari bagi mengelakkan kesulitan yang terpaksa dilalui oleh waris yang akan ditinggalkan. Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada Amanah Raya Berhad dalam penulisan dokumen wasiat yang sempurna. Amanah Raya menyediakan perkhidmatan penyediaan wasiat, penyimpanan wasiat dan mempunyai bidangkuasa untuk melaksanakan wasiat setelah kematian pewasiat. Amanah Raya menjalankan tanggungjawab membantu masyarakat dalam perancangan dan pengurusan harta pusaka bagi memastikan kepentingan waris-waris sentiasa terpelihara dan dilindungi. Dengan pengalaman selama lebih 86 tahun dalam menawarkan perkhidmatan peramanahan, pengurusan perwarisan dan harta pusaka, Amanah Raya sedia membantu menyuraikan kesulitan anda.
No comments:
Post a Comment