Setiap Yang Hidup Pasti Akan Merasai Mati
Assalamualaikum wrt,
ALLAH SWT telah berfirman mengingatkan kita dalam Surah Ali ‘Imran ayat 185, yang bermaksud “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan di masukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Normalnya manusia akan bersedih dan menangisi kematian insan yang disayangi namun setiap perkara itu ada batasannya. Disamping berusaha melupakan kesedihan dan kerinduan pada simati yang telah dijemput oleh Allah SWT terlebih dahulu, kita yang masih hidup ini juga mestilah mengambil iktibar tentang apa yang telah dilalui oleh simati itu sebagaimana Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, “Cukup mati itu menjadi penasihat (tazkirah/menginsafkan)”. Dikesempatan itu suka saya yang serba kekurangan ini berkongsi pandangan tentang apa yang harus kita renungkan kerana sesungguhnya simati itu telah selesai melalui 3 perkara tetapi belum dan akan kita lalui iaitu, melihat wajah malaikat maut, merasai kesakitan kematian dan cara/keadaan kematian.
Oleh itu persoalan yang harus ditimbulkan adalah bagaimanakah kita ini yang belum bersedia untuk mati berdepan dengan situasi ketakutan tiga perkara tersebut. Adakah ia menjadi sedasyat-dasyatnya atau sebaliknya. Maka itu hindarlah kita dari kealpaan untuk kematian dan bersegeralah kita bersiap sedia dengan bekalan untuk menghadapinya kerana entah esok lusa atau bila-bila sahaja dari sekarang tiba giliran kita pula.
Sabda baginda RasululLah SAW lagi,”Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingat mati dan sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Mereka itulah orang-orang yang bijaksana. Mereka telah pergi dengan membawa penghornatan dunia dan kemuliaan akhirat.”. Moga-moga dengan sedikit peringatan ini menginsafkan kita dari melakukan sebarang dosa dan bertaubat kepada Allah SWT.InsyaAllah.
Source : Tazkirah melalui emel Amanah Raya Berhad.
Al-Fatihah untuk Allahyarham Ku Saiful Bakri bin Ku Ismail, Executive Amanah Raya Berhad Caw. Bangi yang baru 3 bulan mendirikan rumahtangga dan terlibat dalam kemalangan di Highway Sg.Besi pada hr Jumaat, 2 Oktober 2009. Semoga Allah menempatkan arwah bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.
No comments:
Post a Comment